Akademik Asyraf Wajdi Dusuki

Dalam dunia akademik, beliau pernah menyandang jawatan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka (2015-2017) dan juga Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi tahun 2014-2016 . Beliau juga sebelum ini merupakan Felo Kehormat Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang bagi tahun 2015-2016. Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Profesor Pelawat dalam bidang Kewangan Islam di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pengajian (Board of Studies) untuk program-program akademik berkaitan ekonomi dan kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), University of Management and Technology (UMTECH) dan Fellow Bersekutu ISDEV, Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau telah menulis beberapa buah buku dan berpuluh artikel akademik di Jurnal-jurnal antarabangsa. Salah satu artikel beliau bertajuk “Banking for the Poor: The Role of Islamic Banking in Microfinance Initiatives” dianugerahkan sebagai Artikel Terbaik bagi tahun 2009 oleh Emerald Literati Network, sebuah institusi Jurnal Antarabangsa yang paling berprestij. Selain itu, menjadi kolumnis di beberapa akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian.